SAHABAT SAHABAT MAYA

Saturday, July 12, 2008

APA ERTI IMAM MAHDI


Soalan:

Apakah erti Imam Mahadi? Adakah ia sama seperti mazhab?

Roslinda, Puchong

Jawapan:
Banyak hadis-hadis Rasulullah SAW menyebutkan bahawa diantara tanda-tanda dunia hampir kiamat akan turunnya Imam Mahdi yang berperanan sebagai penerus dan penegak kebenaran agama Islam. Ia datang bukan membawa ajaran baru tetapi meneruskan perjuangan Islam. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Imam Mahdi itu akan keluar di akhir zaman, namanya Muhammad bin Abdullah atau Ahmad bin Abdullah" (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Dalam hadis yang lain disebutkan:"Imam Mahdi itu termasuk dalam lingkungan ahli kerabat atau keluarga Rasulullah SAW yakni dari puteri baginda yang bernama Fatimah". (Riwayat Abu Daud dan Hakim) Jelaslah bahawa Imam Mahdi seorang lelaki yang turun ketika dunia hampir kiamat. Setelah itu baru turun Nabi Isa as. Imam Mahdi dan Nabi Isa turun bukan membawa ajaran baru tetapi meneruskan perjuangan Rasulullah SAW.
Sila rujuk buku-buku berikut:
1. Peringatan Di Akhir Zaman DN 102
2. Menunggu Kedatangan Imam Mahdi, Dajjal dan Nabi Isa as DN 189

Mengenai mazhab pula, ilmu fiqh yang diajarkan para sahabat dan para tabi'in tidak beku bahkan berkembang terus. Jika tidak dijumpai nas dalam menyelesaikan sesuatu perkara mereka menetapkan berdasarkan ilmu pengetahuan tentang hukum-hukum untuk menimbang sebab (illat) sewaktu hendak memberikan fatwa-fatwa. Untuk kita ketahui pendapat tabi'in bermacam-macam ini adalah disebabkan berlainan tempat atau keadaan negeri masing-masing, disamping mempunyai kekurangan dan kelebihan tentang memahami maksud-maksud Al Quran dan Hadis. Hasil dari berlainan keadaan atau situasi ini maka tiap-tiap orang alim ilmu fiqh dari golongan tabi'in mempunyai beberapa pendapat yang berlainan dan inilah yang dinamakan mazhab.

Di zaman sekarang nama imam-imam yang empat telah terkenal dan masyhur. Mereka adalah bagaikan bulan purnama yang dikelilingi oleh beberapa bintang-bintang yang berkelipan. Semua mazhab yang empat ini beraqidahkan ahlisunnah waljamaah. Ertinya sumber ajaran yang diterapkan tidak lari dari ketentuan Al Quran dan hadis, bahkan mereka sangat teliti dalam menetapkan sesuatu yang berkaitan dengan aqidah dan ibadah.

Jelaslah bagi kita bagaimana proses mazhab itu terjadi, jadi jika kita tidak mengikuti atau berpegang salah satu jalan maka kita akan teraba-raba dalam mencari kebenaran, akhirnya kita menjadi sesat.

Sumber Asal:http://www.darulnuman.com

No comments: