SAHABAT SAHABAT MAYA

Saturday, July 12, 2008

TAUBAT ANAK KEPADA IBU YANG SUDAH MENINGGAL


Soalan:

Assalamualaikum. Tuan, seorang sahabat telah bermimpi bertemu dengan ibunya selepas dia menunaikan sembahyang hajat dua raakaat. Didalam mimpi tersebut si anak memohon maaf dengan ibunya tentang dosa yang pernah dilakukannya sebelum ibunya meninggal dunia dahulu dan ibunya menganggukkan kepalanya tanda setuju untuk memaafkannya (didalam mimpi).
Soalannya, adakah taubatnya diampunkan oleh Allah s.w.t.?
Hamba Allah, Beranang

Jawapan:

Derhaka kepada ibu ataupun bapa merupakan dosa besar. Ibu adalah orang yang paling besar pengorbanannya dalam membesarkan anak-anaknya, jadi tidak ada sesuatupun yang dapat membalas kebaikan dan perjuangan seorang ibu. Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan Kami perintahkan kepada manusia berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya (bercerai susu) dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada Ku dan kepada dua orang ibu bapamu; hanya kepada Ku lah kamu kembali".
(Surah Lukman ayat 14) Jika kita telah terlanjur derhaka kepada ibu sedangkan ibu tersebut telah meninggal dunia, maka bertaubatlah setelah itu lakukanlah kewajipan kita sebagai seorang anak. Berbuat baiklah kepadanya dengan mendoakannya serta mengerjakan segala perintah Allah dengan demikian kita telah meringankan bebannya di alam barzakh. Sesungguhnya doa anak yang soleh dan telah bertaubat kepada Allah sangat diharapkan oleh seorang ibu. Setelah kita lakukan taubat dan berbuat baik kepada ibu dengan cara mendoakannya, sedekah untuknya, menjalinkan silaturrahim teman sejawatnya, maka kita serahkan segalanya kepada Allah. Hanya Allah sahajalah yang menentukan kedudukan kita di akhirat kelak.

Sumber Asal:http://www.darulnuman.com

No comments: