SAHABAT SAHABAT MAYA

Monday, July 21, 2008

BATALKAH PUASA JIKA MELAKUKAN PERKARA BERIKUT?


Yang membatalkan puasa
1.

Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa?


Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut:

1) Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja, kecuali kerana darurat yang berkaitan dengan kesakitan.

2) Makan, minum dan merokok. Adapun suntikan ubatan tidak membatalkan puasa.

3) Muntah dengan sengaja

4) Mengeluarkan air mani

5) Melakukan jimak (hubungan seks) pada siang hari

6) Kedatangan haidh, nifas atau kelahiran bagi wanita

7) Menjadi gila

8) Pitam sepanjang hari

9) Mabuk (yang menghilangkan daya pemikiran waras) sepanjang hari

10) Murtad, iaitu keluar dari agama Islam




2.

Adakah membersihkan telinga atau hidung membatalkan puasa?


Di antara sebab batal puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja. Membersihkan telinga atau hidung tidak semestinya membatalkan puasa. Ia dibolehkan dengan kadar yang sederhana dan berhati-hati. Contohnya, membersihkan telinga di kawasan yang tidak terlalu dalam. Namun, jika anda merasa ragu-ragu sekiranya perbuatan anda boleh membatalkan puasa, maka jangan lakukan, dan bersihkanlah telinga dan hidung di waktu malam.




3.

Benarkah berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung menjejaskan puasa seseorang?


Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk adalah sunat. Bagi orang yang berpuasa pula, maka tidak boleh berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan berlebihan. Sekiranya seseorang berwuduk dengan tidak berlebihan dan air itu termasuk ke dalam kerongkong, maka puasanya tetap sah. Samalah keadaannya jika dimasuki debu jalanan, debu tepung atau lalat yang terbang masuk ke dalam kerongkong. Semua ini dimaafkan kerana tidak sengaja. Namun, jika seseorang berkumur-kumur dengan berlebihan, ia boleh menyebabkan air masuk ke dalam kerongkong, dan jika ini berlaku, maka puasanya batal.




4. Adakah batal puasa sekiranya kahak ditelan semula setelah ia terkeluar dari dalam tekak hingga ke dalam mulut?

Batal puasa jika menelan kembali kahak yang terkeluar dari belakang tekak kerana telah masuk sesuatu dalam rongga terbuka.


5. Bolehkah seseorang itu menggunakan mouthwash untuk mengurangkan bau mulut semasa berpuasa?

Dalam sebuah hadith yang sahih, Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa bau-bauan yang datang dari mulut orang yang berpuasa adalah lebih manis di sisi Allah s.w.t daripada bau kasturi. Oleh itu, ia dianggap sebagai makruh untuk memberus gigi selepas waktu Zuhur. Jika memberus gigi dianggap sebagai makruh, maka apatah lagi penggunaan mouthwash.

Adalah cukup bagi seseorang itu untuk mengurangkan bau di mulutnya dengan mencucinya dengan air, tanpa memberus gigi atau menggunakan mouthwash. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu masih juga ingin menggunakan mouthwash atau memberus gigi, maka ia tidak dilarang.




6. Adakah penggunaan semburan mulut (mouth spray) membatalkan puasa?

Puasa akan batal jika terdapat sesuatu yang memasuki kerongkong. Jika dengan penggunaan semburan mulut, cecair tersebut akan berada di mulut sehinggakan ia akan tercampur dengan air liur lalu ditelan, maka ia membatalkan puasa. Ini adalah kerana terdapat kemasukan ke dalam kerongkong selain dari air liur.


7. Adakah penggunaan solekan seperti gincu atau pengilat bibir (lip gloss) membatalkan puasa?

Puasa akan batal jika terdapat apa-apa gangguan/kemasukan di salah-satu dari lima pembukaan di anggota badan iaitu; telinga, hidung, tekak, dan kedua-dua kemaluan. Menggunakan solekan seperti celak atau krim muka tidak membatalkan puasa, akan tetapi ia boleh mengurangkan ganjaran puasa jika solekan tersebut dilihat oleh lelaki yang bukan mahram.

Bagi memakai gincu atau pengilat bibir (lip gloss) pula, jika ia tidak dijilat atau ia dijilat tetapi tidak ditelan, ia tidak membatalkan puasa, kalau tidak, puasa akan batal.




8. Adakah meletakkan corong tiup (mouthpiece) sebuah alat muzik seperti klarinet membatalkan puasa?

Jika corong tiup tersebut berada lama di mulut sehinggakan air liur yang tersentuh corong tiup itu ditelan semula, maka ia membatalkan puasa kerana kemasukan air liur yang tercemar ke dalam perut.

Jika corong tiup tersebut tidak berada lama di mulut, pengguna harus berhati-hati agar air liur di mulut tidak ditelan dan diludah keluar. Corong tiup itu juga harus dilap hingga keirng sebelum digunakan semula.


9. Adakah batal puasa seseorang itu jika tertelan makanan kerana lupa akan puasanya?

Puasa akan batal sekiranya seseorang itu menelan sesuatu dengan sengaja dalam keadaan dia sedar yang dia itu berpuasa. Tetapi jika dia terlupa bahawa dia sedang berpuasa dan menelan sesuatu, maka tidak batal puasanya. Hukum ini adalah umum untuk puasa wajib dan sunat.

Maka, sekiranya anda sedar dan ingat bahawa anda berpuasa, dan kemudian anda merasai makanan tersebut dan menelan air liur yang sudah terkena makanan itu, maka puasa anda batal. Tetapi jika anda terlupa yang anda berpuasa dan menelannya, maka tidak batal puasa anda selagi mana anda dengan segera membuang apa yang dalam mulut anda sebaik sahaja anda teringat yang anda sedang bepuasa.




10.

Wajibkah puasa seseorang yang sakit jiwa seumur hidup dan sentiasa bergantung dengan ubat?


Seseorang yang mengalami sakit jiwa sepanjang masa dan bergantung pada ubat sentiasa tidak wajib berpuasa. Maka dia tidak perlu membayar fidyah atau mengqadha' puasanya.


11.

Jika seseorang itu termuntah semasa berpuasa, adakah ini akan membatalkan puasanya?


Seseorang yang sengaja mengorek anak tekaknya agar muntah akan batal puasanya. Tetapi jika dia muntah dengan sendiri tanpa disengajakan, maka ia tidak membatalkan puasa.


12.

Jika seorang jururawat atau doktor menggunakan "inhaler" dengan niat mahu mengajar pesakit-pesakit semput cara menggunakannya, adakah ia membatalkan puasanya?


Inhaler dalam bulan Ramadhan merupakan satu keperluan bagi pesakit semput. Dengan keperluan ini dan keadaan darurat yang dihadapi mereka, terdapat kelonggaran yang boleh diikuti. Walaubagaimana pun ini merupakan perkara yang luar dari kebiasaan. Bagi orang yang tidak memerlukan inhaler dan dengan sengaja menggunakannya atas sebab mengajar atau sebagainya akan membatalkan puasa.

Sebagai jururawat, jika memang terpaksa untuk melakukannya, ini merupakan keadaan yang tidak boleh dielakkan dan ini tidak mengapa. Tetapi dalam keadaan mempunyai alternatif lain maka perlu menggunakan alternatif lain serta menjaga puasa dari rosak.




13.

Adakah penggunaan "inhaler" untuk pesakit semput dibenarkan semasa berpuasa?


Antara perkara yang membatalkan puasa ialah kemasukan sesuatu ke dalam badan melalui rongga yang terbuka. Namun, kemasukan sesuatu bahan seperti ubat inhaler di atas dasar darurat, yang berkaitan dengan kesukaran bernafas, dibolehkan syara. Oleh yang demikian, penggunaan inhaler yang berpatutan tidak membatalkan puasa.




14.

Adakah batal puasa seseorang yang menggunakan ubat untuk penyakit buasir?


Antara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu dalam 5 rongga yang terbuka: telinga, hidung, belakang anak tekak, kemaluan depan, dan kemaluan belakang.

Buasir adalah penyakit. Mereka yang sedang sakit tidak perlu berpuasa. Ini bersandarkan Al-Quran dalam surah Al-Baqarah, atay 183: "Dan barangsiapa diantara kamu yang sakit atau belayar maka gantikan bilangan hari itu (di bulan yang lain)."

Memasukkan ubat dalam lubang dubur, walaupun untuk buasir, adalah membatalkan puasa. Namun, orang tersebut perlu hormati bulan Ramadan dan jika boleh menahan diri dari makan dan minum, atau makan dan minum di tempat yang tidak dilihat oleh manusia.




15. Batalkah ibadah puasa seseorang itu jikalau dia menggunakan kata-kata kesat/bermaki hamun?

Rasulullah s.a.w bersabda yang mana maksudnya: Jika salah seorang dari kamu berpuasa maka janganlah ia berkata keji dan menyakitkan hati, dan jika ada orang yang mengajak kamu untuk bergaduh, maka katakanlah: Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa.

Berkata kesat merosakkan ganjaran dan pahala puasa seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w di atas, tetapi ia tidak membatalkan puasa. Tiada ulama dan mazhab yang berpendapat bahawa orang yang cakap kesat atau berbohong atau melakukan fitnah sekalipun, akan membatalkan puasa. Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah jelas dalam syariat Islam.




16. Apakah hukumnya orang yang berpuasa melakukan dosa mengumpat, bercakap bohong dan melihat wanita ajnabi dengan syahwat. Adakah sah puasanya?

Orang yang berpuasa wajib menjaga kata-kata atau tingkah lakunya daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan puasanya agar puasanya itu tidaklah hanya tinggal lapar, dahaga dan menahan diri sahaja, sedangkan pahalanya tiada.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Puasa itu adalah perisai. Apabila seseorang di kalangan kamu berpuasa, dia tidak boleh (bercakap kotor) dan melakukan maksiat. Apabila seseorang mencacinya atau ingin bergaduh dengannya, handaklah dia berkata: Aku sedang berpuasa." (Bukhari dan Muslim) Sabda Rasulullah lagi: "Sesiapa yang tidak meninggalkan tutur kata yang dusta, Allah tidak menerima hajatnya (puasanya) walaupun dia meninggalkan makan dan minum." (Bukhari, Ahmad dan Ashabus Sunan).

Menurut lbnu Arabi, yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah tidak diberikan pahala puasanya. Maknanya, pahala puasa tidak layak diberi kepada pendusta. Saidina Umar berkata bahawa puasa itu bukanlah menahan diri daripada makan dan minum sahaja tetapi mesti juga menghindarkan diri daripada berdusta serta perkara-perkara yang batil dan melalaikan.




17.

Adakah boleh saya menderma darah sewaktu berpuasa?


Menderma darah di dalam kuantiti yang sederhana dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Namun, pendermaan yang terlalu banyak sehingga menyebabkan kelemahan pada tubuh badan, sehingga tidak dapat menjalani ibadat puasa dengan baik, tidak digalakkan sama sekali.




18.

Adakah seseorang yang sedang berpuasa itu boleh melakukan sukan renang?


Berenang boleh menyebabkan masuknya air ke dalam hidung dan/atau telinga perenang. Jika air memasuki badan cara sedemikian, adalah batal puasa seseorang. Dengan ini, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berpuasa dinasihatkan agar tidak berenang di siang hari Ramadan untuk mengelakkan dari terbatalnya puasa.




19.

Adakah suntikan ‘insulin’ membatalkan puasa?


Suntikan insulin bagi pesakit kencing manis tidak membatalkan puasa. Ini adalah kerana suntikan tersebut bukanlah melalui rongga yang terbuka dan tidak pula memberi sebarang kekenyangan atau kepuasan kepada si pesakit.




20. Adakah pemeriksaan kesihatan yang melibatkan kemasukan alat atau jari ke dalam dubur membatalkan puasa?

Perbuatan doktor itu tidak membatalkan puasa anda kerana ia dilakukan untuk tujuan perubatan. Ia tidak melibatkan sesuatu yang sampai ke perut atau tekak lantas menghilangkan lapar atau dahaga.


21. Adakah perbuatan melancap membatalkan puasa?

Para ulama telah bersetuju bahawa perbuatan melancap adalah dilarang di dalam Islam. Allah s.w.t telah berfirman di Surah Al-Mukminun ayat 5-7: “Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau terhadap yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa mencari yang di balik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.”

Oleh itu, mereka yang mengeluarkan air mani mereka dengan sengaja dianggap sebagai mereka yang telah melampaui batas.

Ditekankan disini bahawa melancap bukan sahaja haram, ia juga membatalkan puasa, tidak kira samada puasa Ramadhan atau puasa sunnah. Tiada denda di dunia bagi mereka yang melakukan perkara itu di bulan Ramadhan. Dendanya menunggunya di Akhirat nanti jika mereka tidak bertaubat dan meminta keampunan dari Allah s.w.t. Apabila puasa telah terbatal di bulan Ramadhan, maka adalah wajib untuk mengqadha’nya pada hari yang lain.

Tabiat melancap boleh dihentikan. Jika pemikiran seseorang itu boleh menimbulkan nafsu seksual, maka dia harus dengan segera menghilangkan perasaan tersebut, melupakannya dan beristighfar. Dia juga harus mengingati balasan yang akan diterima di Akhirat yang sudah tentu lebih besar dari perasaan seronok yang dirasai selama beberapa saat sahaja. Dia juga boleh membuang air kencing untuk melepaskan ketegangan di bahagian kemaluan.


22.

Saya telah bermimpi sehingga mengeluarkan mani pada siang hari Ramadan, Adakah ia membatalkan puasa?


Bermimpi sehingga mengeluarkan mani dan mandi junub tidak membatalkan puasa. Malahan, sekiranya termasuk air ke dalam telinga atau tertelan air ketika berkumur-kumur (sewaktu mengambil wuduk atau mandi), puasa tidak terbatal kerana ia dikira tidak sengaja. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengampuni umatku yang tersilap, terlupa atau dipaksa melakukan sesuatu." (Riwayat At-Tabarani)




23. Apabila sedang sahur, masuklah waktu azan Subuh sedang saya meminum air. Sah atau tidak puasa saya jika saya teruskan sahaja minum air itu sedikit?

Puasa bermula dengan menjelangnya fajar, seperti yang dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 187. Fajar menjelang dengan masuknya waktu Subuh, iaitu dengan azan Subuh. Oleh itu, puasa bermula dengan azannya Subuh. Maka jika seseorang itu masih makan dan minum sedangkan azan Subuh sudah berkumandang, maka puasanya dianggap sudah terbatal dan ia wajib qadha. Umat Islam dinasihatkan agar berhenti makan dan minum ketika masuk Imsak, atau jika terlewat, meminum


24. Bolehkah pesakit gingal menjalani ibadah puasa, terutama pada hari dialisis?

Puasa akan terbatal sekiranya dimasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka. Rongga yang terbuka adalah telinga, hidung, mulut dan kedua-dua kemaluan depan dan belakang. Dialisis di mana darah akan disedut keluar untuk dibersihkan dan kemudian dimasukkan kembali dalam badan, tidak termasuk dari perbuatan memasukkan sesuatu dalam rongga yang terbuka. Maka dialisis tidak membatalkan puasa.


25.

Bolehkah membayar kafarah kerana bersetubuh di siang hari Ramadan wang jumlah sama dengan 60 orang miskin kepada satu orang sahaja?


Hukum mereka yang bersetubuh pada siang hari Ramadan adalah mengikut urutan berikut:

1) Membebaskan hamba sahaya. Jika tiada hamba lagi, maka boleh buat nombor 2,

2) Puasa 2 bulan berturut-turut + 1 hari Qada' . Jika ia benar-benar tidak mampu kerana penyakit atau setelah ia mencuba berkali-kali, maka barulah dia boleh lakukan berikut

3) Memberi makan 60 fakir miskin.

Nombor 3 di atas tidak boleh ditukar kepada memberi jumlah penuh kepada satu orang sahaja.


Sumber asal: MUIS


7 comments:

Unknown said...

Macam mana seseorang itu mengunakan gigi palsu semasa berpuasa

Unknown said...

terima kasih sangat bermanfaat
tentang muntah ketika puasa
infonya menarik

Unknown said...

Assalamualaikum wbt

Sah puasa @ tidak jika semasa membuang air besar tetapi telah mengeluarkan darah.

Unknown said...

Swaktu berpuasa pastinya gigi palsu adalah tdk perlu.. Maka jika digunakan, akan batal puasa.. Tp jika ia perlu utk situasi yg memerlukan, maka tdk batal..

SR said...

Bolehkah seseorang berendam di dalam air ketika berpuasa?Contohnya, mandi bath tub. Adakah batal puasanya?

Mad said...

Asalam ustz klu masukkan air dalam kemaluan kencing lelaki dgn tujuan membersihkan kencing adakah batal puasa?

Mad said...

Asalam ustz klu masukkan air dalam kemaluan kencing lelaki dgn tujuan membersihkan kencing adakah batal puasa?