SAHABAT SAHABAT MAYA

Saturday, July 12, 2008

MENGGANTI PUASA BAPA YANG TELAH MENINGGAL



Soalan:

Bapa saya sudah lama meninggal dunia. Semasa hayatnya dia jarang berpuasa. Kemusykilan saya, adakah wajib saya sebagai anaknya atau ibu saya, untuk menqadakan puasanya ataupun bagaimanakah caranya saya harus menyelesaikan masalah ini? Untuk pengetahuan tuan saya tidak tahu berapa harikah dia tidak berpuasa. Setahu saya terlalu banyak.

Salmah, Segamat

Jawapan:
Menurut mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi; puasa orang yang telah meninggal dunia tidak boleh diganti oleh orang lain. Namun puasa mereka cukup diganti dengan membayar fidyah. Iaitu dengan memberikan makan fakir miskin seorang sehari puasa yang ditinggalkannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa meninggal dan padanya ada puasa Ramadhan yang telah ditinggalkan maka hendaklah diberi makan atas namanya sehari seorang miskin (fidyah)" (Hr. Tarmizi daripada Ibnu Umar) Seandainya warisnya mengetahui bahawa orang tuanya atau bapanya ada berniat puasa nazar maka warisnya hendaklah menggantikannya dengan berpuasa sesuai dengan yang dinazarkan. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila sakit seorang lelaki dalam bulan Ramadhan kemudian ia meninggal dunia, padahal ia tidak berpuasa maka ia harus membayar fidyah (memberi makan orang miskin seorang sehari atas namanya). Tiada qadha atasnya. Dan jika puasa nazar hendaklah diqadhakan oleh wali atau warisnya". (HR Abu Daud daripada Ibnu Abbas)

Sumber Asal:http://www.darulnuman.com

No comments: