SAHABAT SAHABAT MAYA

Thursday, August 28, 2008

DALAM TANDAS PUN NAK BERCAKAP?


Bercakap dalam tandas? Perkara ini nampak remeh tapi wajar diberi perhatian oleh umat Islam kerana Islam telah menggariskan adab-adab tertentu ketika berada dalam tandas.Dari budak kecil sehinggalah orang dewasa, semasa dalam tandas pun nak bercakap.Orang yang bertanya pun tak kisah dah .Dalam tandas pun dalam tandaslah.Asalkan si pulan itu menjawab pertanyaan.Mari kita lihat apakah yang dikatakan tandas dan adab-adab dalam tandas.


Tandas merupakan tempat khas yang dibina dalam sesebuah
rumah atau bangunan yang pada kebiasaannya digunakan untuk qadha hajat.Tandas yang bersih, lebih-lebih lagi yang selesa, merupakan suatu keperluan. Kerana itu tidak hairan jika sebilangan individu tidak menggemari tandas awam, kerana menganggap ianya antara tempat yang kotor, menjijikkan atau kurang menyenangkan Apapun gambaran yang dibayangkan terhadap tandas, ianya tidak mengurangkan dan menjejaskan pandangan Islam terhadap kepentingannya. Oleh kerana itu, telah digariskan beberapa adab yang mudah untuk diamalkan ketika berada dalamnya, ketika qadha hajat dan setelah selesai qadha hajat.

Antaranya ialah:
1. Ketika Berada Dalam Tandas
i. Tidak membawa sesuatu yang tertulis padanya perkataan yang
mulia seperti ayat-ayat al-Qur'an, bahkan sunat ditanggalkan. Ini termasuklah ,lafzhul jalalah, asma’ul husna nama nabi-nabi -sekalipun dia bukan Rasul, nama malaikat dan kesemua nama nama mulia; samada nama-nama yang dikhususkan untuk seseorang yang mulia ataupun nama tersebut mempunyai persamaan seperti ‘al-Aziz’; kerana nama ini digunakan untuk asma’ul husna dan juga selainnya.

Begitu juga ‘Ahmad’ yang
menunjukkan nama Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga untuk selainnya. Adapun jika nama tersebut dimaksudkan secara umum, maka tidaklah makruh. Ini berdasarkan kepada hadis Anas Radhiallahu ‘anhu iaitu ,perbuatan Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam menanggalkan cincin Baginda yang telah diukir dengan ’perkataan ‘Muhammad Rasul Allah Sekiranya seseorang itu terlupa atau tidak sempat untuk,menanggalkan cincin yang mengandungi perkataan mulia tadi maka hendaklah digenggam dengan telapak tangan atau dimasukkan ke dalam serban dan seumpamanya (disembunyikan atau ditutup). Perbuatan seperti ini adalah adab yang dituntut.

Adapun membawa masuk mushaf ke dalam tandas tanpa darurat, maka hukumnya adalah haram. Begitu juga dengan cincin yang ada perkataan mulia yang dipakai pada tangan kiri yang digunakan untuk ber’istinja (bercebok), kerana sudah pasti akan terkena najis padanya

ii. ٍJangan masuk tandas dengan kepala dan kaki yang terdedah (tidak berlapik). Hadis mursal daripada Habib bin Shalih Radhiallahu ‘anhu :dia berkata
Maksudnya "Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam jika (hendak) masuk ke tandas, Baginda memakai alas kaki dan (juga) menutup kepala Baginda
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Oleh itu,sediakanlah selipar di dalam tandas. kerana dikhuatiri membawa najis keluar.

Para ibu atau bapa yang mempuyai anak kecil juga seeloknya sediakanlah bakul sampah untuk meletak pampers anak.Janganlah dilonggokkan dalam tandas atau diletakkan ditepi pintu tandas,tempat mengambil wudhuk atau mandi kerana dikhuatiri kesuciannya terutamanya jika tidak memakai selipar dalam tandas.

iii. Sunat mendahulukan kaki kiri apabila masuk tandas, sekalipun bukan dengan tujuan untuk qadha hajat seperti menyimpan atau mengambil barang

iv. Sunat mendahulukan kaki kanan apabila keluar dari tandas atau beredar dari tempat qadha hajat.

v. Sunat menyediakan air yang akan digunakan untuk ber’istinja (bercebok) lebih awal. (Jika tiada kemudahan paip air untuk ber’istinja.

vi. Sunat membaca doa sebelum masuk tandas sepertimana riwayat daripada Anas Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu alaihi wasallam‘ ketika hendak masuk tandas Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam :berdoa :Maksudnya Dengan nama Allah, Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari syaitan khubtsi (lelaki) dan syaitan khaba’its (perempuan. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

vii. Sunat membaca doa setelah keluar dari tandas antaranya riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dan Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam :telah mengucapkan maksudnya : "Aku memohon keampunanMu. Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesusahan (berak dan kencing) daripadaku dan menjadikan aku sihat wal‘afiat (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Adapun perkataan "ghufranaka" maka sunat dibaca 3 kali.

viii. Sunat mengangkat pakaian satu demi satu ketika hendak duduk qadha hajat, melainkan jika ditakuti terkena najis maka memadailah mengikut kadar yang sepatutnya. Begitu juga setelah selesai qadha hajat, sunat menurunkan atau melepaskan pakaian satu demi satu sebelum sempurna dia berdiri tegak.

ix. Makruh berlengah-lengah (duduk lama-lama tanpa keperluan dalam tandas).Lagipun tandas juga tempat yang digemari syaitan.

.x. Disunatkan untuk tidak makan dan minum

xi. Haram menghadap atau membelakangi kiblat ketika qadha hajat khususnya pada tempat yang luas atau terbuka dan tanpa ada pendinding (yang boleh menutup aurat), kecuali jika tempat itu berada dalam suatu bangunan atau binaan dan memang disediakan sebagai tempat qadha hajat seperti tandas yang dibina dalam rumah atau bangunan. Maka hukumnya adalah dibolehkan; tidak haram dan tidak makruh dan tidak menyalahi yang utama khilaf al-awla.

Ini dapat difahami dari hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah
bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma :dia berkata :Maksudnya Aku naik ke atas rumah Hafshah untuk sesuatu hajat (pekerjaan), lalu aku melihat Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam sedang qadha hajat (buang air besar), iaitu‘ Baginda (dalam keadaan) membelakangi kiblat dan menghadap negeri Syam (Hadis riwayat al-Bukhari)

Setelah qadha hajat, jika dia ingin berpindah ke tempat lain untuk ber’istinja bercebok, maka tiada haram atau makruh untuk dia menghadap atau membelakangi kiblat

Diolah dari:http://www.brunet.bn/gov/mufti/

1 comment:

Ariff Arifin said...

assalamu3alaikum.

ii. ٍJangan masuk tandas dengan kepala dan kaki yang terdedah (tidak berlapik). Hadis mursal daripada Habib bin Shalih Radhiallahu ‘anhu :dia berkata
Maksudnya "Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihiwasallam jika (hendak) masuk ke tandas, Baginda memakai alas kaki dan (juga) menutup kepala Baginda
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Oleh itu,sediakanlah selipar di dalam tandas. kerana dikhuatiri membawa najis keluar.

wallahua3lam. saya ingin memberikan sedikit komentar ke atas hadith yang dibawa dalam menyokong kenyataan itu. matan dalam lafadz arab barangkali seperti berikut;

كان إذا دخل المرفق لبس حذاءه وغطى رأسه

atau

إذا دخل الخلاء لبس حذاءه وغطى رأسه

kedua-dua lafadz adalah dari habib bin soleh.

dikeluarkan oleh al-baihaqi dalam sunan al-kubra dan dikatakan mursal kepada Nabi SAW.

cuma yang menjadi masalah di dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama abu bakr bin abi maryam. beliau adalah abu bakr bin abdullah, seorang ahli syam. pengkaji hadith menghukum beliau sebagai dha3if disebabkan oleh ikhtilatnya.

antara yang menghukum beliau sebagai dha3if adalah ibnu hajar al-haitsami dalam majma3u al-zawa2id ketika memberikan komentar kepada beberapa hadith yang mempunyai abu bakr abi maryam sebagai salah seorang perawi.

begitu juga dalam kitab al-jarhu wa at-ta3dil, apabila ibnu abi hatim menyoal bapanya (abu hatim) mengenai abu bakr bin abi maryam, beliau menjawab sebagai dha3if. juga dalam kitab yang sama, dinyatakan bahawa yahya ibnu ma3in turut disoal mengenai abu bakr bin abi maryam, beliau menjawab bahawa dha3if hadith yang melalui jalannya. begitu juga abu zur3ah, apabila disoal mengenai abu bakr bin abi maryam, beliau menjawab "dha3iful hadith, munkarul hadith".

al-3allamah al-albani dalam silsilah ad-dha3ifah wa al-maudhu3ah menghukum hadith dengan lafadz yang pertama tadi sebagai dha3if, dengan mengatakan isnadnya adalah dha3if, di dalamnya terdapat abu bakr bin abi maryam.

wallahua3lam.


betulkan jika ada silap.

wassalam wbt.