SAHABAT SAHABAT MAYA

Showing posts with label puasa. Show all posts
Showing posts with label puasa. Show all posts

Sunday, August 30, 2009

ADAKAH DITERIMA PUASA ORANG TIDAK SOLAT




Salamun A'Laik....
Saya kira kita pernah terdengar dan melihat orang yang berpuasa tetapi tidak mengerjakan solat.Sedih juga kita melihat golongan ini.Ada yang sibuk menyediakan juadah berbuka sampai terlupa menunaikan solat .Dan pelbagai lagi jenis ragam mereka yang memandang enteng terhadap solat.Mungkin juga mereka berpuasa kerana adat dan bukannya kerana kewajipan.Persoalannya...Apakah diterima puasa orang yg sengaja meninggalkan solat?

Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, maka ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), maka para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya; 1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.

2. Jumhur ulamak berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.
Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat.

Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).


Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya.

Namun perlu dipersoalkan; adakah puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah.

Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riyak; solatnya sah (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riyak tersebut. Kerana itu, ulamak-ulamak al-Azhar (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (bekas ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail, Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras ulamak-ulamak dari Arab Saudi tadi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni tidak diberi pahala)”. Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya.

Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud);
“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).

Jika dengan kerana akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, maka lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.
Sumber

Monday, August 24, 2009

ADAB BERPUASA DAN SOLAT TARAWIH


Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih. Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.:

Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh.

Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.


Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.


Kenyang
:Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.” As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya.

Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);


9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya. Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya.

Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)


Sumber : Utusan Malaysia

Sunday, September 7, 2008

KEMUSYKILAN BERPUASA

1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)


2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.


3) Pil elak haid untuk puasa penuh :

Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.


4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :

Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.

Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)



5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:

Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.



6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).


7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat :

Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)


8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-

كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ

Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah : -

فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام

Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-

"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)

Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari ramadhan.


9) Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)

Dalilnya adalah :-

من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له

Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )



10) Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.


11) Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.


12) Menelan air liur

Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)


13 ) Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.


14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.

Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)


Sumber : UZAR

Tuesday, August 26, 2008

BERUSAHA CAPAI PUASA MABRUR

SESIAPA yang bergembira dengan datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka. (Riwayat Ibnu Majah)

Begitulah satu daripada beribu hadis yang menyebutkan tentang kelebihan bulan Ramadan yang akan ditempuh oleh seluruh umat Islam dunia tidak lama lagi.

Wawancara wartawan ZUARIDA MOHYIN dengan pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir menjelaskan tentang fenomena biasa menjelang bulan mulia ini dan bagaimana untuk memperoleh puasa yang mabrur.

Apakah sikap yang sepatutnya bagi seorang Muslim dalam menyambut Ramadan?

MOHAMMAD NIDZAM: Dalam menyambut Ramadan, saya dapati ada beberapa sikap atau watak individu Muslim. Antaranya ada yang rasa terbeban dengan bulan Ramadan. Ini kerana puasa pada siang hari dengan kadar masa yang agak panjang. Godaan perut makin banyak sekarang ini. Malam hari pula terpaksa pergi ke masjid atau surau untuk solat Isyak berjemaah dan sunat tarawih.

Sepatutnya sikap berasa terbeban dengan kedatangan Ramadan tidak boleh berpanjangan. Sebagai Muslim, puncak ibadat adalah ketaatan terhadap perintah Allah. Apa jua perintah Ilahi, kita dengar dan kita taati. Seorang Muslim perlu gembira dengan kedatangan Ramadan kerana pintu-pintu syurga dibuka manakala pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pula dirantai. Ini peluang yang baik untuk mendapat ganjaran pahala dengan mudah.

Antara hasil puasa Ramadan ialah takwa. Namun masih ramai yang berpuasa tetapi masih melakukan maksiat seperti tidak solat dan bermain nombor ekor. Apakah status puasa golongan ini?

MOHAMMAD NIDZAM: Memang hasil puasa adalah takwa. Ini sabit dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 di mana Allah berfirman mafhum-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu semoga kamu menjadi golongan bertakwa.

Jadi, puasa penghujungnya ialah takwa. Tetapi tidak semestinya orang yang berpuasa akan beroleh nilai takwa. Ia perlu melalui proses pendidikan sepanjang bulan Ramadan. Kalau puasa, tetapi banyak larangan puasa dilanggar, puasanya tidak berkualiti.

Macam solat juga. Al-Quran menyatakan bahawa solat mencegah daripada perbuatan keji dan munkar. Tapi bukan sebarang solat. Ia adalah solat yang berkualiti dan khusyuk. Macam juga haji. Oleh itu, kalau kita betul-betul ingin menjadi Muslim yang bertakwa, ambillah dan gunakanlah peluang bulan Ramadan bersungguh-sungguh, insya-Allah kita akan betul-betul bertakwa.

Puasa golongan yang masih tidak solat atau main nombor ekor, puasanya dikira sah kerana ia bukanlah perkara yang membatalkan solat. Namun puasa tersebut bukanlah puasa yang berkualiti. Sabda Nabi SAW dalam riwayat al-Bukhari yang bermaksud: Puasa itu adalah perisai, maka janganlah orang yang berpuasa bercakap dengan perkara keji dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil.

Kita selalu disogokkan dengan pelbagai ganjaran hasil daripada melakukan ibadat puasa Ramadan. Pun begitu, ada kenyataan yang mengatakan bahawa tidak semua orang yang berpuasa itu mendapat hasilnya. Tolong ustaz jelaskan perkara ini dan bagaimana untuk memperoleh puasa yang mabrur?

MOHAMMAD NIDZAM: Memang banyak kelebihan ibadat puasa. Antaranya ia adalah rukun Islam. Selain itu, ada satu hadis qudsi daripada Nabi SAW riwayat al-Bukhari maksudnya: …dia (orang yang berpuasa) meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwatnya kerana Daku. Puasa adalah bagi-Ku dan Aku yang akan memberi ganjaran dengannya…

Macam kita belajar di sekolah atau di universiti. Adakah kita pasti bahawa semua pelajar akan mendapat ‘A’. Sudah tentu tidak. Ia bergantung juga kepada sekadar mana usaha pelajar tersebut. Samalah dengan orang yang berpuasa. Oleh itu, ada beberapa tip untuk mendapat puasa yang mabrur (puasa yang berkualiti dan diterima oleh Allah):

lBerpuasa penuh

lMenjaga akhlak perut, akhlak mata dan sebagainya. Contoh akhlak perut adalah menjaga agar tidak makan daripada hasil yang haram. Begitu juga semasa berbuka puasa, makanlah secara sederhana dan lagi bagus, mengikut tertib sunah Nabi SAW dengan makan buah tamar dahulu.

lAkhlak pergaulan mesti dijaga.

lMemperbanyakkan amalan membaca al-Quran dan berzikir.

lMengambil peluang untuk solat sunat tarawih. Seterusnya peluang sunah bersahur juga digunakan untuk melakukan solat sunat tahajud dan sebagainya.

lBerusaha memperbanyakkan ibadat di penghujung Ramadan untuk mendapat Lailatul Qadar.

Acap kali bila tibanya bulan Ramadan, kemunculan hadis-hadis daif berkaitan kelebihan bulan ini begitu ketara. Contohnya, Berpuasalah nescaya kamu sihat, Tidur orang yang berpuasa adalah ibadat dan banyak lagi. Bagaimanakah seharusnya kita berhadapan dengan perkara ini?

MOHAMMAD NIDZAM: Proses mengenali hadis daif memerlukan ilmu. Ada hadis daif yang boleh dijadikan panduan. Contohnya berpuasalah nescaya kamu sihat. Kajian ulama hadis mendapati bahawa hadis ini daif.

Walau bagaimanapun, isi kandungannya adalah baik dan benar. Begitu juga riwayat bahawa tidur orang yang berpuasa adalah ibadat. Memang benar. Kalau berpuasa tetapi mengumpat sana mengumpat sini, maka tidur adalah ibadat yang lebih utama.

Cuma ada hadis daif yang sangat daif dan langsung tidak mempunyai asal dalam agama. Contohnya ganjaran pahala yang melampau dan keterlaluan.

Contohnya hadis solat tarawih setiap malam dan fadilatnya. Hadis ini bukan lagi daif tetapi adalah hadis palsu. Ia mesti diperangi kerana hadis palsu mengandungi pendustaan terhadap diri Nabi SAW. Kita tidak nafikan kelebihan solat tarawih tetapi ia mestilah sahih, hasan atau daif yang diterima mengikut syarat yang dikaji oleh para ulama hadis.

Dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa Abu Darda’ berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu menjadi orang berilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mempelajari ilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mendengar ilmu. Jangan kamu jadi golongan keempat (yang tidak termasuk dalam golongan itu). Hendaklah kamu tinggalkan perbuatan golongan keempat itu. Bagaimanakah saranan di atas boleh diadaptasikan pada bulan Ramadan ini?

MOHAMMAD NIDZAM: Saya harap riwayat ini sahih. Walau bagaimanapun, maksud hadis ini adalah sahih. Ia menggambarkan bahawa proses tuntutan ilmu perlu dilakukan sama ada sebagai guru, pelajar atau sekadar pendengar.

Bagi mengadaptasikannya dalam bulan Ramadan, ada beberapa perkara yang wajar dilakukan.

Antaranya program tadarus al-Quran. Tadarus al-Quran bukanlah sekadar menghabiskan bacaan sahaja tetapi bagaimana kita cuba memahami ayat-ayat Allah. Maka adalah elok jika ada beberapa ayat dikaji dan difahami setiap hari selain cuba menghabiskan satu juzuk al-Quran setiap hari.

Program kuliah dan ceramah agama juga sewajarnya tidak dihentikan sama sekali. Manusia memerlukan pengisian ilmu dan nasihat. Namun ia hendaklah dilakukan dengan baik dan teliti.

Janganlah kerana ceramah agama, kita mengganggu kekhusyukan orang yang sedang solat. Oleh itu, masa perlulah sesuai. Kuliah subuh boleh diteruskan seperti biasa.

Kuliah tarawih juga boleh dilakukan tetapi ia perlu dirancang dengan baik. Jika tidak, ia satu program yang tidak sesuai. Contohnya ada masjid atau surau mengadakan ceramah antara solat tarawih. Solat tarawih pula lapan rakaat. Apabila siap empat rakaat, ada ceramah agama. Setiap malam pula begitu rupa. Satu slot ceramah masanya 45 minit hingga satu jam. Ini bagi saya satu pengisian program yang tidak wajar kerana ia mengambil masa yang agak panjang.

Selain itu, ibadat utama iaitu solat tarawih masih belum sempurna. Kalau sudah sempurna lapan rakaat, para jemaah ada pilihan untuk terus mendengar ceramah atau terus balik.

Selain itu, umat Islam juga mempunyai masa pada siang hari kerana tiada waktu makan. Oleh itu, ambillah peluang ini untuk kita membaca bahan-bahan bacaan yang bermanfaat.

Yang penting, jadikan bulan Ramadan satu jambatan mencapai ketakwaan dan keredaan Allah.

Sumber : Utusan Malaysia

ADAB BERPUASA DAN SOLAT TERAWIH

Adab berpuasa dan solat terawih

Oleh NAZMI AIDARUS

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal; 4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Monday, July 21, 2008

BATALKAH PUASA JIKA MELAKUKAN PERKARA BERIKUT?


Yang membatalkan puasa
1.

Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa?


Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut:

1) Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja, kecuali kerana darurat yang berkaitan dengan kesakitan.

2) Makan, minum dan merokok. Adapun suntikan ubatan tidak membatalkan puasa.

3) Muntah dengan sengaja

4) Mengeluarkan air mani

5) Melakukan jimak (hubungan seks) pada siang hari

6) Kedatangan haidh, nifas atau kelahiran bagi wanita

7) Menjadi gila

8) Pitam sepanjang hari

9) Mabuk (yang menghilangkan daya pemikiran waras) sepanjang hari

10) Murtad, iaitu keluar dari agama Islam




2.

Adakah membersihkan telinga atau hidung membatalkan puasa?


Di antara sebab batal puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja. Membersihkan telinga atau hidung tidak semestinya membatalkan puasa. Ia dibolehkan dengan kadar yang sederhana dan berhati-hati. Contohnya, membersihkan telinga di kawasan yang tidak terlalu dalam. Namun, jika anda merasa ragu-ragu sekiranya perbuatan anda boleh membatalkan puasa, maka jangan lakukan, dan bersihkanlah telinga dan hidung di waktu malam.




3.

Benarkah berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung menjejaskan puasa seseorang?


Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk adalah sunat. Bagi orang yang berpuasa pula, maka tidak boleh berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan berlebihan. Sekiranya seseorang berwuduk dengan tidak berlebihan dan air itu termasuk ke dalam kerongkong, maka puasanya tetap sah. Samalah keadaannya jika dimasuki debu jalanan, debu tepung atau lalat yang terbang masuk ke dalam kerongkong. Semua ini dimaafkan kerana tidak sengaja. Namun, jika seseorang berkumur-kumur dengan berlebihan, ia boleh menyebabkan air masuk ke dalam kerongkong, dan jika ini berlaku, maka puasanya batal.




4. Adakah batal puasa sekiranya kahak ditelan semula setelah ia terkeluar dari dalam tekak hingga ke dalam mulut?

Batal puasa jika menelan kembali kahak yang terkeluar dari belakang tekak kerana telah masuk sesuatu dalam rongga terbuka.


5. Bolehkah seseorang itu menggunakan mouthwash untuk mengurangkan bau mulut semasa berpuasa?

Dalam sebuah hadith yang sahih, Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa bau-bauan yang datang dari mulut orang yang berpuasa adalah lebih manis di sisi Allah s.w.t daripada bau kasturi. Oleh itu, ia dianggap sebagai makruh untuk memberus gigi selepas waktu Zuhur. Jika memberus gigi dianggap sebagai makruh, maka apatah lagi penggunaan mouthwash.

Adalah cukup bagi seseorang itu untuk mengurangkan bau di mulutnya dengan mencucinya dengan air, tanpa memberus gigi atau menggunakan mouthwash. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu masih juga ingin menggunakan mouthwash atau memberus gigi, maka ia tidak dilarang.




6. Adakah penggunaan semburan mulut (mouth spray) membatalkan puasa?

Puasa akan batal jika terdapat sesuatu yang memasuki kerongkong. Jika dengan penggunaan semburan mulut, cecair tersebut akan berada di mulut sehinggakan ia akan tercampur dengan air liur lalu ditelan, maka ia membatalkan puasa. Ini adalah kerana terdapat kemasukan ke dalam kerongkong selain dari air liur.


7. Adakah penggunaan solekan seperti gincu atau pengilat bibir (lip gloss) membatalkan puasa?

Puasa akan batal jika terdapat apa-apa gangguan/kemasukan di salah-satu dari lima pembukaan di anggota badan iaitu; telinga, hidung, tekak, dan kedua-dua kemaluan. Menggunakan solekan seperti celak atau krim muka tidak membatalkan puasa, akan tetapi ia boleh mengurangkan ganjaran puasa jika solekan tersebut dilihat oleh lelaki yang bukan mahram.

Bagi memakai gincu atau pengilat bibir (lip gloss) pula, jika ia tidak dijilat atau ia dijilat tetapi tidak ditelan, ia tidak membatalkan puasa, kalau tidak, puasa akan batal.




8. Adakah meletakkan corong tiup (mouthpiece) sebuah alat muzik seperti klarinet membatalkan puasa?

Jika corong tiup tersebut berada lama di mulut sehinggakan air liur yang tersentuh corong tiup itu ditelan semula, maka ia membatalkan puasa kerana kemasukan air liur yang tercemar ke dalam perut.

Jika corong tiup tersebut tidak berada lama di mulut, pengguna harus berhati-hati agar air liur di mulut tidak ditelan dan diludah keluar. Corong tiup itu juga harus dilap hingga keirng sebelum digunakan semula.


9. Adakah batal puasa seseorang itu jika tertelan makanan kerana lupa akan puasanya?

Puasa akan batal sekiranya seseorang itu menelan sesuatu dengan sengaja dalam keadaan dia sedar yang dia itu berpuasa. Tetapi jika dia terlupa bahawa dia sedang berpuasa dan menelan sesuatu, maka tidak batal puasanya. Hukum ini adalah umum untuk puasa wajib dan sunat.

Maka, sekiranya anda sedar dan ingat bahawa anda berpuasa, dan kemudian anda merasai makanan tersebut dan menelan air liur yang sudah terkena makanan itu, maka puasa anda batal. Tetapi jika anda terlupa yang anda berpuasa dan menelannya, maka tidak batal puasa anda selagi mana anda dengan segera membuang apa yang dalam mulut anda sebaik sahaja anda teringat yang anda sedang bepuasa.




10.

Wajibkah puasa seseorang yang sakit jiwa seumur hidup dan sentiasa bergantung dengan ubat?


Seseorang yang mengalami sakit jiwa sepanjang masa dan bergantung pada ubat sentiasa tidak wajib berpuasa. Maka dia tidak perlu membayar fidyah atau mengqadha' puasanya.


11.

Jika seseorang itu termuntah semasa berpuasa, adakah ini akan membatalkan puasanya?


Seseorang yang sengaja mengorek anak tekaknya agar muntah akan batal puasanya. Tetapi jika dia muntah dengan sendiri tanpa disengajakan, maka ia tidak membatalkan puasa.


12.

Jika seorang jururawat atau doktor menggunakan "inhaler" dengan niat mahu mengajar pesakit-pesakit semput cara menggunakannya, adakah ia membatalkan puasanya?


Inhaler dalam bulan Ramadhan merupakan satu keperluan bagi pesakit semput. Dengan keperluan ini dan keadaan darurat yang dihadapi mereka, terdapat kelonggaran yang boleh diikuti. Walaubagaimana pun ini merupakan perkara yang luar dari kebiasaan. Bagi orang yang tidak memerlukan inhaler dan dengan sengaja menggunakannya atas sebab mengajar atau sebagainya akan membatalkan puasa.

Sebagai jururawat, jika memang terpaksa untuk melakukannya, ini merupakan keadaan yang tidak boleh dielakkan dan ini tidak mengapa. Tetapi dalam keadaan mempunyai alternatif lain maka perlu menggunakan alternatif lain serta menjaga puasa dari rosak.




13.

Adakah penggunaan "inhaler" untuk pesakit semput dibenarkan semasa berpuasa?


Antara perkara yang membatalkan puasa ialah kemasukan sesuatu ke dalam badan melalui rongga yang terbuka. Namun, kemasukan sesuatu bahan seperti ubat inhaler di atas dasar darurat, yang berkaitan dengan kesukaran bernafas, dibolehkan syara. Oleh yang demikian, penggunaan inhaler yang berpatutan tidak membatalkan puasa.




14.

Adakah batal puasa seseorang yang menggunakan ubat untuk penyakit buasir?


Antara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu dalam 5 rongga yang terbuka: telinga, hidung, belakang anak tekak, kemaluan depan, dan kemaluan belakang.

Buasir adalah penyakit. Mereka yang sedang sakit tidak perlu berpuasa. Ini bersandarkan Al-Quran dalam surah Al-Baqarah, atay 183: "Dan barangsiapa diantara kamu yang sakit atau belayar maka gantikan bilangan hari itu (di bulan yang lain)."

Memasukkan ubat dalam lubang dubur, walaupun untuk buasir, adalah membatalkan puasa. Namun, orang tersebut perlu hormati bulan Ramadan dan jika boleh menahan diri dari makan dan minum, atau makan dan minum di tempat yang tidak dilihat oleh manusia.




15. Batalkah ibadah puasa seseorang itu jikalau dia menggunakan kata-kata kesat/bermaki hamun?

Rasulullah s.a.w bersabda yang mana maksudnya: Jika salah seorang dari kamu berpuasa maka janganlah ia berkata keji dan menyakitkan hati, dan jika ada orang yang mengajak kamu untuk bergaduh, maka katakanlah: Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa.

Berkata kesat merosakkan ganjaran dan pahala puasa seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w di atas, tetapi ia tidak membatalkan puasa. Tiada ulama dan mazhab yang berpendapat bahawa orang yang cakap kesat atau berbohong atau melakukan fitnah sekalipun, akan membatalkan puasa. Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah jelas dalam syariat Islam.




16. Apakah hukumnya orang yang berpuasa melakukan dosa mengumpat, bercakap bohong dan melihat wanita ajnabi dengan syahwat. Adakah sah puasanya?

Orang yang berpuasa wajib menjaga kata-kata atau tingkah lakunya daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan puasanya agar puasanya itu tidaklah hanya tinggal lapar, dahaga dan menahan diri sahaja, sedangkan pahalanya tiada.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Puasa itu adalah perisai. Apabila seseorang di kalangan kamu berpuasa, dia tidak boleh (bercakap kotor) dan melakukan maksiat. Apabila seseorang mencacinya atau ingin bergaduh dengannya, handaklah dia berkata: Aku sedang berpuasa." (Bukhari dan Muslim) Sabda Rasulullah lagi: "Sesiapa yang tidak meninggalkan tutur kata yang dusta, Allah tidak menerima hajatnya (puasanya) walaupun dia meninggalkan makan dan minum." (Bukhari, Ahmad dan Ashabus Sunan).

Menurut lbnu Arabi, yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah tidak diberikan pahala puasanya. Maknanya, pahala puasa tidak layak diberi kepada pendusta. Saidina Umar berkata bahawa puasa itu bukanlah menahan diri daripada makan dan minum sahaja tetapi mesti juga menghindarkan diri daripada berdusta serta perkara-perkara yang batil dan melalaikan.




17.

Adakah boleh saya menderma darah sewaktu berpuasa?


Menderma darah di dalam kuantiti yang sederhana dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Namun, pendermaan yang terlalu banyak sehingga menyebabkan kelemahan pada tubuh badan, sehingga tidak dapat menjalani ibadat puasa dengan baik, tidak digalakkan sama sekali.




18.

Adakah seseorang yang sedang berpuasa itu boleh melakukan sukan renang?


Berenang boleh menyebabkan masuknya air ke dalam hidung dan/atau telinga perenang. Jika air memasuki badan cara sedemikian, adalah batal puasa seseorang. Dengan ini, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berpuasa dinasihatkan agar tidak berenang di siang hari Ramadan untuk mengelakkan dari terbatalnya puasa.




19.

Adakah suntikan ‘insulin’ membatalkan puasa?


Suntikan insulin bagi pesakit kencing manis tidak membatalkan puasa. Ini adalah kerana suntikan tersebut bukanlah melalui rongga yang terbuka dan tidak pula memberi sebarang kekenyangan atau kepuasan kepada si pesakit.




20. Adakah pemeriksaan kesihatan yang melibatkan kemasukan alat atau jari ke dalam dubur membatalkan puasa?

Perbuatan doktor itu tidak membatalkan puasa anda kerana ia dilakukan untuk tujuan perubatan. Ia tidak melibatkan sesuatu yang sampai ke perut atau tekak lantas menghilangkan lapar atau dahaga.


21. Adakah perbuatan melancap membatalkan puasa?

Para ulama telah bersetuju bahawa perbuatan melancap adalah dilarang di dalam Islam. Allah s.w.t telah berfirman di Surah Al-Mukminun ayat 5-7: “Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau terhadap yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa mencari yang di balik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.”

Oleh itu, mereka yang mengeluarkan air mani mereka dengan sengaja dianggap sebagai mereka yang telah melampaui batas.

Ditekankan disini bahawa melancap bukan sahaja haram, ia juga membatalkan puasa, tidak kira samada puasa Ramadhan atau puasa sunnah. Tiada denda di dunia bagi mereka yang melakukan perkara itu di bulan Ramadhan. Dendanya menunggunya di Akhirat nanti jika mereka tidak bertaubat dan meminta keampunan dari Allah s.w.t. Apabila puasa telah terbatal di bulan Ramadhan, maka adalah wajib untuk mengqadha’nya pada hari yang lain.

Tabiat melancap boleh dihentikan. Jika pemikiran seseorang itu boleh menimbulkan nafsu seksual, maka dia harus dengan segera menghilangkan perasaan tersebut, melupakannya dan beristighfar. Dia juga harus mengingati balasan yang akan diterima di Akhirat yang sudah tentu lebih besar dari perasaan seronok yang dirasai selama beberapa saat sahaja. Dia juga boleh membuang air kencing untuk melepaskan ketegangan di bahagian kemaluan.


22.

Saya telah bermimpi sehingga mengeluarkan mani pada siang hari Ramadan, Adakah ia membatalkan puasa?


Bermimpi sehingga mengeluarkan mani dan mandi junub tidak membatalkan puasa. Malahan, sekiranya termasuk air ke dalam telinga atau tertelan air ketika berkumur-kumur (sewaktu mengambil wuduk atau mandi), puasa tidak terbatal kerana ia dikira tidak sengaja. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengampuni umatku yang tersilap, terlupa atau dipaksa melakukan sesuatu." (Riwayat At-Tabarani)




23. Apabila sedang sahur, masuklah waktu azan Subuh sedang saya meminum air. Sah atau tidak puasa saya jika saya teruskan sahaja minum air itu sedikit?

Puasa bermula dengan menjelangnya fajar, seperti yang dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 187. Fajar menjelang dengan masuknya waktu Subuh, iaitu dengan azan Subuh. Oleh itu, puasa bermula dengan azannya Subuh. Maka jika seseorang itu masih makan dan minum sedangkan azan Subuh sudah berkumandang, maka puasanya dianggap sudah terbatal dan ia wajib qadha. Umat Islam dinasihatkan agar berhenti makan dan minum ketika masuk Imsak, atau jika terlewat, meminum


24. Bolehkah pesakit gingal menjalani ibadah puasa, terutama pada hari dialisis?

Puasa akan terbatal sekiranya dimasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka. Rongga yang terbuka adalah telinga, hidung, mulut dan kedua-dua kemaluan depan dan belakang. Dialisis di mana darah akan disedut keluar untuk dibersihkan dan kemudian dimasukkan kembali dalam badan, tidak termasuk dari perbuatan memasukkan sesuatu dalam rongga yang terbuka. Maka dialisis tidak membatalkan puasa.


25.

Bolehkah membayar kafarah kerana bersetubuh di siang hari Ramadan wang jumlah sama dengan 60 orang miskin kepada satu orang sahaja?


Hukum mereka yang bersetubuh pada siang hari Ramadan adalah mengikut urutan berikut:

1) Membebaskan hamba sahaya. Jika tiada hamba lagi, maka boleh buat nombor 2,

2) Puasa 2 bulan berturut-turut + 1 hari Qada' . Jika ia benar-benar tidak mampu kerana penyakit atau setelah ia mencuba berkali-kali, maka barulah dia boleh lakukan berikut

3) Memberi makan 60 fakir miskin.

Nombor 3 di atas tidak boleh ditukar kepada memberi jumlah penuh kepada satu orang sahaja.


Sumber asal: MUIS


Saturday, July 12, 2008

MENGGANTI PUASA BAPA YANG TELAH MENINGGAL



Soalan:

Bapa saya sudah lama meninggal dunia. Semasa hayatnya dia jarang berpuasa. Kemusykilan saya, adakah wajib saya sebagai anaknya atau ibu saya, untuk menqadakan puasanya ataupun bagaimanakah caranya saya harus menyelesaikan masalah ini? Untuk pengetahuan tuan saya tidak tahu berapa harikah dia tidak berpuasa. Setahu saya terlalu banyak.

Salmah, Segamat

Jawapan:
Menurut mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi; puasa orang yang telah meninggal dunia tidak boleh diganti oleh orang lain. Namun puasa mereka cukup diganti dengan membayar fidyah. Iaitu dengan memberikan makan fakir miskin seorang sehari puasa yang ditinggalkannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa meninggal dan padanya ada puasa Ramadhan yang telah ditinggalkan maka hendaklah diberi makan atas namanya sehari seorang miskin (fidyah)" (Hr. Tarmizi daripada Ibnu Umar) Seandainya warisnya mengetahui bahawa orang tuanya atau bapanya ada berniat puasa nazar maka warisnya hendaklah menggantikannya dengan berpuasa sesuai dengan yang dinazarkan. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila sakit seorang lelaki dalam bulan Ramadhan kemudian ia meninggal dunia, padahal ia tidak berpuasa maka ia harus membayar fidyah (memberi makan orang miskin seorang sehari atas namanya). Tiada qadha atasnya. Dan jika puasa nazar hendaklah diqadhakan oleh wali atau warisnya". (HR Abu Daud daripada Ibnu Abbas)

Sumber Asal:http://www.darulnuman.com